Cool Pink Pointer Glitter HANISAH BINTI JUSOH@YUSUF
BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, 5 December 2011

LEBURKAN DOSA DI TAPAK TANGAN

Kemunculan 1Syawal membuka ruang yang luas untuk kita saling bermaaf-maafan. Dalam suasana gembira dan ceria kerana telah Berjaya menamatkan ibadah puasa, hati biasanya menjadi lembut dan mudah memberi  kemaafan berbanding hari-hari yang lain.

Orang yang berpuasa telah pun mendapat keampunan Allah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Sesiapa berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan, keinsafan dan harapan diampunkan  dosa-dosanya yang telah lalu”.
                                                                                                                             (HR Al-Bukhari)

            Dalam kehidupan seharian, kita banyak berhubung dengan orang lain. Maka pada Hari Raya yang mulia ini, hulurkanlah tangan mohon ampun di atas segala kesalahan yang telah dilakukan selama ini. Leburkan dosa di tapak tangan pada hari yang mulia ini. Sabda Rasulullah yang bermaksud :
“ Mana-mana orang Islam yang apabila bertemu kedua-duanya lalu berjabat tangan, kecuali diampunkan dosa kedua-dua mereka sebelum mereka berpisah ”

                                                                                                                             ( HR Abu Daud )

            Inilah saatnya kita memohon keampunan terutamanya kepada kedua ibu bapa kita yang telah banyak berkorban, sejak di dalam kandungan, ketika dilahirkan sehinggalah sekarang ini. Kita tidak mungkin membalas jasa mereka dengan apa jua sekalipun. Ingatlah bahawa Allah tidak akan meredhai kita sekiranya ibu bapa tidak meredhai kita. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“ Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa, kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa ”
                                                                                                                          ( HR Al-Tirmizi )

            Namun begitu, harus diingat tentang bersalaman antara lain jantina. Hukumnya tetap haram. Hari raya bukan bermakna harus bersalaman antara lelaki dan perempuan yang bukan muhram. Awasilah tangan sekalipun atas nama Hari Raya kerana menyebabkan kemurkaan Allah  apabila melanggar syariat dan hukum yang telah ditetapkan.


0 comments: